Wednesday, December 28, 2011

ALLAH MENEGUR RASULULLAH

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Mukadimah
SURAH ini termasuk dalam surah makkiah. Diturunkan selepas surah al-Najm. Dalam surah terdahulu dinyatakan berkenaan hari kiamat, manakala dalam surah ini pula menceritakan perihal orang yang mengambil manfaat daripada peringatan itu.

Firman Allah SWT: Ia memasamkan muka dan berpaling, kerana ia didatangi orang buta.

Ibn Ummi Maktum datang menghadap Nabi Muhammad SAW di Mekah. Ketika itu baginda asyik bercakap-cakap dengan pemimpin-pemimpin Quraisy seperti Utbah dan Syaibah, kedua-duanya ialah anak Rabi’ah, Abu Jahl Ibn Hisham, Abbas Ibn Abd al-Mutallib, Umayyah Ibn Khalaf dan al-Walid Ibn al-Mughirah untuk diajak kepada Islam, diberi peringatan tentang kedatangan hari kiamat, kekuasaan Allah SWT dan diharapkan sebagai orang yang akan menerima balasan baik jika menganut Islam.

Manusia yang baik adalah yang memberi manfaat kepada orang lain.

Rasulullah SAW amat mengharapkan agar seruannya itu diterima kerana baginda mengetahui andainya mereka menganut Islam pasti ramai yang akan mengikut mereka.

Ini kerana kuasa kepimpinan bangsa Arab terletak di tangan mereka. Ketika baginda asyik bercakap-cakap, tiba-tiba Ibn Ummi Maktum mencelah, katanya: “Ya Rasulullah, bacakan dan ajarkanlah aku apa yang telah diajarkan oleh Allah SWT kepada tuan”.

Berulang kali ucapan itu disampaikan tanpa dia mengetahui kesibukan baginda bersama-sama tokoh kaum yang sedang berbicara sehingga baginda berasa tidak senang hati apabila percakapannya disampuk dan nampak rasa kurang selesa pada raut wajah baginda lalu berubah mukanya menjadi masam lantas ia berpaling.

Firman Allah SWT: Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui (tujuannya, Wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepada-Nya.


Syed Qutb berkata: Tahukah engkau barangkali hati lelaki akan disinari nur Allah yang akan mengubahnya menjadi rumah nur yang sentiasa menerima nur dari langit?

Kebajikan ini akan menjadi kenyataan apabila ada hati yang membuka pintunya untuk menerima hidayah dan apabila hakikat iman terpacak kukuh di dalam hatinya. Inilah persoalan agung dalam neraca pertimbangan Allah SWT.

Firman Allah SWT: Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran al-Quran). Maka Engkau bersungguh-sungguh melayaninya. Padahal Engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya).


Ibn Kathir berkata: Engkau tidak dituntut melakukan hal tersebut jika ia tidak membersihkan dirinya.

Firman Allah SWT: Adapun orang yang segera datang kepada-Mu. Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah), maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Al-Maraghi berkata: Ternyata engkau mengabaikan permintaannya.

Firman Allah SWT: Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya. Wasiat ini berlaku sama kepada seluruh umat manusia dalam menyampaikan ilmu baik antara orang mulia mahupun orang yang hina.


Qatadah dan al-Suddi mengatakan: Iaitu al-Quran. Ini bagi yang sentiasa mengingati Allah.

Firman Allah SWT: (ayat-ayat suci itu tersimpan) dalam naskhah-naskhah yang dimuliakan, yang tinggi darjatnya, lagi suci (dari segala gangguan), (terpelihara) di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Lauh Mahfuz (malaikat-malaikat) yang mulia, lagi yang berbakti.

Al-Maraghi berkata: Peringatan itu telah dicantumkan dalam kitab Allah SWT yang mulia lagi tinggi, suci dari sebarang kekurangan, tidak bercampur dengan unsur-unsur kesesatan dan diturunkan kepada nabi melalui para malaikat, kemudian peringatan itu diteruskan kepada seluruh manusia.

Penutup

Syed Qutb berkata: Ayat-ayat al-Quran itu mulia dalam semua pertimbangan dan mulia dalam suhuf-suhufnya. Ia dijunjung tinggi dan suci.

Ia diserahkan kepada utusan-utusan para malaikat ang tertinggi, mulia dan taat setia untuk dikirimkan kepada para rasul yang terpilih di bumi supaya disampaikan kepada penghuni-penghuninya.

Itulah sifat malaikat yang mulia dan taat setia. Ayat-ayat itu amat mulia dan suci dalam segala perkara yang dibicara dan disentuh olehnya.

Ayat-ayat tersebut sungguh mulia dan tidak ditawarkan kepada orang-orang yang enggan menerimanya dengan jelas menyatakan bahawa mereka tidak memerlukannya. Ia untuk orang yang mengiktiraf kemuliaannya dan mahu membersihkan diri dengannya.

Penjelasan ayat ini merupakan neraca Allah untuk pertimbangan manusia dan kedudukan mereka dan hanya Dia yang mampu mengatur segala-galanya.

Ustaz Harun Din Tumpaskan Mubaligh Angkuh

Harun Din Tumpaskan Mubaligh Angkuh
Posted on Saturday, June 02 @ 11:09:55 MYT by greenboc


Oleh benmoktar

"
Lelaki India berbadan tegap itu menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang tamu rumahnya di Petaling Jaya. Hari ini, dia rasa terlalu letih. Pelanggan yang datang ke bank tempatnya bekerja hari ini, luar biasa ramainya. Dia cuma sempat berhenti rehat sewaktu makan tengah hari sahaja. Selepas itu, dia kembali sibuk melayan pelanggan sehinggalah habis waktu pejabat.

Lelaki itu menghidupkan TV 29 inci yang baru dibelinya tidak sampai dua bulan dengan remote yang berada di tangannya. Ditukarnya satu per satu siaran televisyen, TV3, TV2, semuanya sama. Tidak ada apa yang menarik. Bosan!. Dia menukar pula kepada siaran TV1 .



Kebetulan ketika itu, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam sedang berlangsung. Salah seorang ahli panelnya ialah ulama terkenal, Dato' Dr. Haron Din.

Biarpun dia bukan seorang Muslim, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah asing baginya. Selalu juga dia menonton rancangan tersebut. Malah, dia juga tahu sedikit sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan tersebut. Lagipun, dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi ceramah dalam bahasa Melayu, secara tidak langsung, dia boleh belajar bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih baik.



Sedang asyik mengikuti perbincang-an itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak apabila mendengar Haron Din mengatakan: "Bandingan segala kebaikan amal dan usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu. Amalan itu menjadi sia-sia akibat mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh daripada kebenaran."



Mendengar kata-kata Haron Din, darah lelaki India itu menyirap. Perasaan marah menyelinap masuk ke dalam hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan Tuhan hanya menerima kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam?



Bahkan, sepanjang hidupnya, dia melihat banyak kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam, dan ada kalanya, melebihi daripada Kebaikan yang pernah dilakukan oleh orang Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan itu tidak diterima? Dia mula menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap kasta. Jika begitu ajaran Islam, bermakna ia double standard.



Rasa tidak puas hati terus menyelubungi fikiran lelaki tersebut. Lelaki India itu akhirnya bertekad untuk ber-jumpa dengan Haron Din. Dia ingin berdebat dengan ulama tersebut. Pada fikirannya, mana boleh seorang ulama mengeluarkan kenyataan yang tidak adil seperti itu, dan boleh menyentuh perasaan orang bukan Islam di negara ini seperti dirinya. Apatah lagi ia dilakukan secara terbuka di kaca TV.



Lelaki itu tahu, Haron Din bukanlah calang-calang orang, tetapi dia tidak peduli. Dia tetap mahu berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari jalan bagaimana untuk bertemu dengannya.Setelah beberapa bulan memendam niat untuk bertemu Haron Din akhirnya hasrat itu tercapai. Melalui seorang pelanggan yang dikenali ketika berurusan di bank tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa bertemu dengan Haron Din di sebuah rumah seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya. Haron Din mengadakan usrah di rumah ahli perniagaan tersebut pada hari Khamis malam Jumaat, seminggu sekali.



Ketika sampai di rumah ahli perniagaan tersebut, kuliah baru saja bermula. Di hadapan lebih 20 orang jemaah, kelihatan Haron Din duduk bersila sambil memegang sebuah kitab. Kebetulan pada malam itu, Haron Din mengajar tentang bab syirik. Bila ternampak muka Haron Din, hatinya menjadi panas.



Lelaki itu membulatkan tekad, selepas tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan Haron Din. Dia mahu mengajak Haron Din berdebat. Lelaki itu memang betul-betul tidak berpuas hati dengan kenyataan Haron Din di dalam Forum Perdana. Ia masih terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah beberapa bulan berlalu.



Namun, tidak disangka-sangka, segala yang dirancangnya tidak menjadi. Perasaan marah dan bengang yang bersarang dalam dirinya selama beberapa bulan itu mula surut apabila dia duduk mendengar kuliah yang disampaikan oleh ulama tersebut.



Setelah tamat kuliah yang diberikan Haron Din, lebih kurang dua jam selepas itu, semangatnya yang tadi berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama tersebut, kian kendur. Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara penyampaian, serta kupasan Haron Din yang begitu terperinci dalam bab-bab syirik, membuatkan dia rasa amat terpegun.



Sebelum ini, lelaki India itu tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam dan ketuhanan seperti yang didengarnya pada malam itu. Biarpun hati lelaki berkenaan sudah mula mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya masih menebal. Lelaki ini memperingatkan dirinya, kedatangannya pada malam itu bukan untuk terpengaruh dengan kata-kata Haron Din, tetapi untuk mengajak ulama itu berdebat dengannya.



Akhirnya dia memutuskan untuk menangguhkan hasrat berdebat dengan Haron Din. Bukan tidak berani, tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi buruknya terhadap Haron Din dan Islam telah mula berubah.



Pun demikian, lelaki itu tidak mahu mengalah dengan perasaannya. Ego yang ada dalam dirinya mengaburi kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan Haron Din ialah untuk menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dalam Forum Perdana adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.



Dan yang paling penting, tujuan dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk mengakui kebenaran Islam. Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia akan terus mengikuti kuliah Haron Din di situ, agar dia lebih faham tentang Islam dan senang nanti untuk dia berhujah dengan ulama tersebut kelak.



Selepas itu, pada setiap malam Jumaat, lelaki berkenaan menghadiri kuliah Haron Din. Kali ini dia pergi seorang diri. Tetapi 'masalahnya' semakin lama mengikuti usrah Haron Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran Islam. Lama-kelamaan, tujuan asal lelaki ini untuk berdebat dengan Haron Din dan mengatakan bahawa Islam agama yang double standard, bertukar menjadi sebaliknya. Setiap kali dia mengikuti usrah Haron Din, semakin hampir hatinya pada Islam. Islam itu dilihatnya tulus, lurus tanpa simpang-siur.



Niat asalnya untuk berdebat dengan Haron Din akhirnya terpadam begitu sahaja. Sebaliknya, hatinya menjadi semakin lembut dan lelaki India itu bertambah berminat untuk mengetahui tentang ajaran Islam dengan lebih mendalam.



Suatu hari ketika mengikuti usrah Haron Din di rumah ahli perniagaan tersebut, lelaki India itu mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam soalan tentang Islam. Dia bertanya, mengapa perlu meninggalkan agamanya dan memeluk Islam? Bukankah semua agama itu sama. Bukankah Islam itu juga sama seperti agama lain, menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan kejahatan?



Dan yang paling penting, dia mahu tahu, kenapa Haron Din mengatakan hanya amalan orang Islam sahaja yang diterima Allah, dan amalan orang bukan Islam tidak diterima-Nya seperti yang disebut di dalam Forum Perdana Ehwal Islam tidak berapa lama dulu.

Haron Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab; " Untuk memudahkan saudara memahaminya, biar saya berikan contoh begini: kita adalah seorang hamba dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.



"Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah. Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?



"Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita lakukan bukan untuk Dia?"



Ternyata segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh Haron Din atas pertanyaannya itu, membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh Haron Din dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung perasaannya sebagai orang bukan Islam.




Setelah empat minggu berturut-turut mengikuti kuliah yang diberikan oleh Haron Din, ego yang ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam. Akhirnya hati lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas itu, secara rasmi lelaki India tersebut memeluk Islam.



Dalam satu pertemuan empat mata dengan Haron Din setelah lelaki itu memeluk Islam, dia sempat bertanya mengapakah ulama tersebut mengeluarkan kenyataan seperti itu di kaca TV, sedangkan kenyataan itu boleh mengundang rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam, seperti apa yang dirasakannya.



Haron Din menjelaskan kepada lelaki India tersebut: "Memang kenyataan itu saya tujukan khusus untuk orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam berfikir tentang kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama. Saya mendapat maklum balas, ramai di kalangan bukan Islam yang menonton rancangan itu. Jadi, sengaja saya bacakan ayat al-Quran itu agar mereka berfikir."



"Dan saya adalah di antara mereka yang terkena provokasi Haron Din itu. Biarpun pada peringkat awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas hati dengan kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur, kerana ia menjadi penyebab yang membuatkan saya akhirnya menerima cahaya kebenaran Islam," jelas Mohammad Fitri Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di atas.

Ketika Mastika menemuinya di pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid Negeri Shah Alam, Fitri berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia mendapat hidayah biarpun pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk memeluk Islam.



"Seperti yang saya katakan, pada awalnya niat saya adalah untuk berdebat dan berbalah dengan Haron Din akibat rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya itu. Tetapi, apabila saya mendengar penjelasan beliau, ego saya jatuh dan dalam diam-diam saya mengakui, saya bukanlah orang yang layak untuk berdebat dengan beliau," jelasnya.



Sebenarnya sebelum memeluk Islam, Fitri memang seorang yang taat terhadap agamanya. Dia bukan sekadar seorang pengikut yang taat, tetapi juga bergerak aktif dalam beberapa persatuan yang berteraskan agama yang dianutinya. Selain itu, dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di sekitar ibu kota. Biarpun kuat terhadap agamanya, namun jauh disudut hati, lelaki itu sering merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan agama yang dianutinya.



"Sebenarnya, agama tersebut juga mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan yang satu. Di dalam kitab-kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa yang dilakukan oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang diajar di dalam kitab.



"Mereka tidak menyembah Tuhan yang satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam Tuhan, selain dari Tuhan yang satu," tegas lelaki yang berasal dan Banting, Selangor ini. Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering berasa ragu dengan agama sendiri. Perasaan ini bukannya baru, malah timbul sejak dia berusia belasan tahun lagi. Dia melihat apa yang diajar di dalam kitab, dengan apa yang dipraktikkan oleh penganut agama lamanya, termasuk dirinya sendiri, ternyata bercanggah sama sekali.



"Tetapi apabila saya mendengar kuliah Haron Din, diam-diam saya mula sedar, saya memang berada dalam kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar ceramah beliau, sudah cukup untuk memberi kesedaran pada diri saya sekali gus berjaya mengubah pandangan saya terhadap Islam selama ini. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan pada Haron Din," kata Fitri lagi.



Kejadian itu sebenarnya telah pun berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman yang menyerap ke dalam hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari ke hari semakin kukuh bertapak di dalam dirinya.



Jika dahulu Fitri seorang mubaligh yang aktif menyebarkan agama lamanya, kini Fitri masih tetap begitu. "Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di atas landasan agama yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila mendengar ada saudara seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu yang sanggup keluar dari Islam. Murtad.



"Hari ini, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka, memulihkan iman mereka, dengan pelbagai usaha dan cara, termasuk berkongsi pengalaman yang saya lalui sebelum ini.



"Ini adalah tuntutan wajib buat diri saya. Dengan kelebihan yang Allah anugerahkan kepada saya, saya perlu laksanakan amanah ini biarpun berat, sebagai usaha saya membantu menyemarakkan agama Allah di muka bumi yang bertuah ini," ujarnya bersungguh-sungguh mengakhiri pertemuan kami pada petang itu.

catitan :

Benarlah bahawa Hidayah Allah hanya untuk hamba yang dikehendaki-NYA sahaja. Selagi hayat dikandung badan, kita mesti hapuskan gerakan mengkristiankan umat Islam di Malaysia. Semakin lambat kita bertindak, ditakuti bilangan orang murtad ini akan bertambah. Bertindaklah, walau dengan apa jua sekalipun, paling tidak kita doakan kesejahteraan dan keselamatan umat Islam dari fitnah Kristian ini selepas solat fardhu. Apa yang paling saya kesalkan bahawa isu ini dipandang sepi oleh sesetengah pihak dan kita tidak boleh lagi menuding jari serta mengharapkan kepada kerajaan, JAKIM Jabatan Agama Negeri dan sebagainya, Syiar Islam itu diamanahkan kepada setiap individu Islam dan bukannya kepada kerajaan atau mana-mana pertubuhan sekalipun.

Ustaz Harun Din adalah ulama yang amat disegani dan saya sungguh sedih melihat ulama seperti beliau seolah-olah tiada tempat dalam masyarakat kita.Sungguh sukar untuk kita lihat wajah beliau di kaca televisyen sedangkan ilmu yang beliau miliki amat penting untuk kita sama-sama kongsi,pelajari dan amalkan. Rancangan Forum Perdana kini gagal menarik minat penonton Islam termasuk bukan Islam kerana kita kehilanagan ulama-ulama seperti Ishak Baharom, Badrul Amin, Harun Din, dan ramai lagi. Kenapa mereka ini di gam? Disekat terus menerus? Mengapa?

BERTAUBATLAH SEBELUM TERLAMBAT


Diriwayatkan dari Malik bin Dinar, dia pernah ditanya tentang sebab-sebab dia bertaubat, maka dia berkata : "Aku adalah seorang polis dan aku suka menikmati khamr, kemudian aku beli seorang budak perempuan dengan harga mahal, maka dia melahirkan seorang anak perempuan, aku pun menyayanginya.

Ketika dia mulai bisa berjalan, maka cintaku bertambah padanya. Setiap kali aku meletakkan minuman keras di hadapanku, anak itu datang padaku dan mengambilnya dan menuangkannya di bajuku. Ketika umurnya menginjak dua tahun dia meninggal dunia, maka aku pun sangat sedih atas musibah ini.

Ketika malam di pertengahan bulan Syaaban dan malam itu adalah malam Jumaat, aku meneguk khamr lalu tertidur sebelum sempat mengerjakan solat isya'. Maka aku bermimpi seakan-akan qiamat itu terjadi, dan terompet sangkakala ditiup, orang mati dibangkitkan, seluruh makhluk dikumpulkan dan aku berada bersama mereka, kemudian aku mendengar sesuatu yang bergerak dibelakangku.

Ketika aku menoleh ke arahnya kulihat ular yang sangat besar berwarna hitam kebiru-biruan membuka mulutnya menuju ke arahku, maka aku lari tunggang langgang kerana ketakutan. Di tengah jalan kutemui seorang syeikh yang berpakaian putih dengan wangi yang semerbak, maka aku ucapkan salam kepadanya, dia pun menjawabnya, maka aku berkata : "Wahai syeikh ! Tolong lindungilah aku dari ular ini semoga Allah melindungimu". Maka syeikh itu menangis dan berkata padaku : "Aku orang yang lemah dan ular itu lebih kuat dariku dan aku tak mampu mengatasinya, akan tetapi bergegaslah engkau mudah-mudahan Allah menyelamatkanmu."

Maka aku bergegas lari dan memanjat sebuah tebing Neraka hingga sampai pada penghujungnya, aku lihat kobaran api Neraka yang sangat dahsyat, hampir saja aku terjatuh ke dalamnya kerana rasa takutku pada ular itu. Namun pada waktu itu seorang menjerit memanggilku, "Kembalilah engkau kerana engkau bukan penghuni Neraka itu!"

Aku pun tenang mendengarnya, maka turunlah aku dari tebing itu dan pulang. Sedang ular yang mengejarku itu juga kembali. Aku datangi syeikh dan aku katakan, "Wahai syeikh, aku mohon kepadamu agar melindungiku dari ular itu namun engkau tak mampu berbuat apa-apa." Menangislah syeikh itu seraya berkata, "Aku seorang yang lemah tetapi pergilah ke gunung itu kerana di sana terdapat banyak simpanan kaum muslimin, kalau engkau punya barang simpanan di sana maka barang itu akan menolongmu."

Aku melihat ke gunung yang bulat itu yang terbuat dari perak. Di sana ada tirai-tirai yang tergantung yang setiap lubang cahaya mempunyai daun-daun pintu dari emas dan di setiap daun pintu itu mempunyai tirai sutera.

Ketika aku melihat gunung itu, aku langsung lari menujunya kerana ular besar tadi mengejarku lagi. Maka tatkala ular itu mendekatiku, para malaikat berteriak : "Angkatlah tirai-tirai itu dan bukalah pintu-pintunya dan mendakilah ke sana!" Mudah-mudahan dia punya barang titipan di sana yang dapat melindunginya dari musuhnya (ular).

Ketika tirai-tirai itu diangkat dan pintu-pintu telah dibuka, ada beberapa anak dengan wajah berseri mengawasiku dari atas. Ular itu semakin mendekat padaku, maka aku kebingungan, berteriaklah anak-anak itu : "Celakalah kamu sekalian!, Cepatlah naik semuanya kerana ular besar itu telah mendekati kalian."

Maka naiklah mereka dengan serentak, aku lihat anak perempuanku yang telah meninggal ikut mengawasiku bersama mereka. Ketika dia melihatku, dia menangis dan berkata : "Ayahku, demi Allah!" Kemudian dia melompat bak anak panah menuju padaku, kemudian dia ulurkan tangan kirinya pada tangan kananku dan menariknya, kemudian dia ulurkan tangan kanannya ke ular itu, namun binatang tersebut lari.

Kemudian dia mendudukkanku dan dia duduk di pangkuanku, maka aku pegang tangan kanannya untuk menghelai janggutku dan berkata : "Wahai ayahku! Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mengingat Allah". (QS. Al-Hadid : 16).

Maka aku menangis dan berkata : "Wahai anakku!, Kalian semua faham tentang Al-Qur'an", maka dia berkata : "Wahai ayahku, kami lebih tahu tentang Al-Qur'an darimu." Aku berkata : "Ceritakanlah padaku tentang ular yang ingin membunuhku", lalu dia menjawab : "Itulah pekerjaanmu yang buruk yang selama ini engkau kerjakan, maka itu akan memasukkanmu ke dalam api Neraka." Aku berkata : "Ceritakanlah tentang Syeikh yang berjalan di jalanku itu", dan dia menjawab: "Wahai ayahku, itulah amal soleh yang sedikit hingga tak mampu menolongmu." Aku berkata : "Wahai anakku, apa yang kalian perbuat di gunung itu?" Dia menjawab : "Kami adalah anak-anak orang muslimin yang di sini hingga terjadinya kiamat, kami menunggu kalian hingga datang pada kami kemudian kami memberi syafa'at pada kalian". (HR. Muslim dalam shahihnya No. 2635).

Berkata Malik : "Maka aku pun takut dan aku tuangkan seluruh minuman keras itu dan kupecahkan seluruh botol-botol minuman kemudian aku bertaubat pada Allah, dan inilah cerita tentang taubatku pada Allah".